Tuesday 10 December 2013

PENDIDIKAN: Satu Lontaran Idea Dr. Riduan Mohamad Nor

Berkenaan falsafah pendidikan Negara, Dr. Riduan memberi pandangan dalam thesis beliau yang telah diterbitkan menjadi buku Sumbangan PAS dalam bidang Pendidikan di Malaysia, beliau berpendapat falsafah pendidikan akan memandu sesebuah orientasi dan pelaksanaan pendidikan seterusnya sebagai kayu ukur yang ingin dicapai dalam pendidikan sesebuah Negara. ianya seumpama tiang parameter atau halatuju sesebuah pendidikan yang ingin dicerapkan kepada para pelajar. Seluruh ruh dan jasad pendidikan Negara harus terarah kepada falsafah pendidikan yang telah dicitrakan.

Dr. Riduan dalam program Bedah Buku 'Cinta Sang Murabbi' di KIAS

Dalam temuramah bersama beliau baru-baru ini pada 4 disember 2013 selepas tamat program Bedah Buku Cinta Sang Murabbi  di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), kebetulannya, beliau menyatakan bahawa falsafah pendidikan Negara sememangnya gagal memanusiakan manusia kerana melihat kepada sistem yang terancang agar para pelajar tidak dapat memahami Islam secara syumul di pusat pendidikan Negara (sekolah atau IPT). Contoh yang dapat dilihat pada matapelajaran pengajian tamadun Islam yang dikurangkan jam kreditnya di universiti. jika kita lihat pada tahun 2005-2006, geran perkapita untuk sekolah agama rakyat ditarik. Termasuk akta pendidikan 1995, ini semua untuk mengawal sekolah-sekolah agama dan Institusi Pengajian Islam. Beliau sinis menyatakan, Ada ketidakjujuran telah berlaku dalam sistem akdemik supaya pelajar tidak memahami Islam secara sempurna dan ini bukan kebimbangan berdasarkan kepada mainan politik antara PAS dan UMNO semata-mata tetapi sebenarnya ia lebih jelas berdasarkan program penindoktrinisasi yg dibuat oleh kerajaan dan Biro Tata Negara dengan menakut-nakutkan guru untuk bercerita lebih di luar silibus.

Melalui hasil tulisan thesis beliau, terdapat dua pandangan mengenai falsafah dan teori pendidikan iaitu berorientasikan kemasyarakatan dan individu. Falsafah Pendidikan yang ingin diaplikasikan di dunia hari ini kebanyakannya adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat dan mengenepikan keperluan individu. Falsafah Pendidikan Islam juga tidak mempunyai banyak perbezaan dari segi konsep, kecuali faktor aqidah Islam, sumber ilmu dan matlamat ilmu sahaja. Pakar-pakar pendidikan Islam meletakkan falsafah pendidikan Islam sebagai satu usaha untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan pengamalan setiap individu manusia bagi membangunkan masyarakat dan Negara. Pokok pengkal pendidikan dalam Islam adalah berteraskan sumber wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Kerana itu pendidikan Islam bertujuan melahirkan hamba yang taat kepada Allah dengan matlamat mencapai kejayaan dunia dan akhirat.


Kata beliau lagi, Pelaksanaan kepada falsafah Negara mempunyai kekurangan, contohnya kepada falsafah pendidikan Islam – apabila jam kredit yang terlalu kecil (120 minit seminggu) ini akan mengakibatkan pelajar tidak dapat memahami tentang Islam yang syumul. Namun secara keseluruhannya beliau tidak menolak falsafah, cuma aplikasi untuk melaksanakan falsafan perlu diberi nilai tambah yang banyak.

Beliau juga bersetuju menyatakan, Universiti (IPT) pada hari ini seperti sebuah kilang penghasilan mahasiswa yang hanya mencari kelayakan akademik semata-mata dan ini tidak dapat memanusiakan manusia melalui apa yang kita harapkan daripada falsafah  pendidikan Islam. Jika perkara ini berlanjutan ia merupakan penyebab graduan pada hari ini yang masuk bekerja dalam sektor awam dan swasta, berkemungkinan besar akan berlaku pecah amanah, jenayah kolar putih, penyelewengan dan rasuah disebabkan oleh punca kegagalan pendidikan.

Memetik rumusan dari thesis beliau juga, untuk merialisasikan misi dan visi yang holistik dalam membentuk kitaran pendidikan untuk ahli dan juga masyarakat luar, PAS telah mewujudkan ruang untuk anak-anak ahlinya serta masyarakat untuk menimba ilmu daripada institusi pendidikan yang diwujudkan bermula daripada PASTI sehingga kepada Kolej Universiti. PAS menjalankan usahanya secara berterusan untuk membina, menggerak dan menjalankan programnya dalam bidang pendidikan.


PAS juga meletakkan tanggungjawab parti itu dalam bidang pendidikan dan diberikan penegasan dalam setiap kali muktamar tahunan parti tersebut. Keterlibatan mereka dalam bidang pendidikan dilihat sebagai tuntutan fardhu Kifayah, bagi memenuhi tuntutan agama Islam. Apatah lagi parti itu merasakan bahawa usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan tidak mencukupi untuk membentuk masyarakat dan generasi muda yang memahami Islam secara komprehensif. Sekurangnya melalui institusi pendidikan yang ditawarkan oleh PAS dapat membuka luas pendemokrasian pendidikan di Negara kita.

sekian,
Asri Yussof (asriyussof013@gmail.com)

No comments:

Post a Comment