Oleh:
Nik Aziz Afiq Bin Abdul
Alhamdulillah, sepertimana diketahui
ramai berlakunya satu himpunan bersejarah dalam mencorak demokrasi Malaysia
pada malam 31 Disember 2013 sempena sambutan tahun baru 2014. Himpunan ini
menyebabkan buat kali pertama semenjak berpuluh tahun tiada “countdown” tahun
baru berlaku sepertimana kebiasaannya di dataran keramat, Dataran Merdeka.
Konsert yang memaparkan artis yang terkinja-kinja dan penonton yang
tergedik-gedik juga ditamatkan awal setengah jam dari kebiasaan. Malam yang
selalunya berakhir dengan adat jahiliyyah kini berakhir dengan bacaan doa dari
perwakilan siswa. Malam ini ditahun-tahun yang lalu biasanya dipenuhi dengan
ciuman bukan mahram berubah wajah dengan laungan “Allahuakbar” dan “Hidup
Rakyat”. Ini bukan sekadar satu sejarah buat Malaysia, ini juga sejarah buat
gerakan mahasiswa.
Gerakan mahasiswa semenjak zaman
kegemilangannya pada era ’60an dan ‘70an mulai menuju malap sesudah itu. Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikatakan antara faktor mahasiswa hanya
menjadi “yes man” atau penurut buta tuli pada arahan orang atasan. Akibatnya
terbentuklah generasi mahasiswa yang tidak peka dengan isu semasa dan gagal
berbakti pada masyarakat sekeliling. Gerakannya semakin lesu dan tidak
dipercayai, mahasiswa yang bergraduasi juga hanya menjadi pemerhati bisu kepada
kerosakan masyarakat sekeliling. Namun fajar akhirnya menyinsing juga,
penganalisis politik meramalkan Himpunan Turun 31 Disember adalah petanda
kebangkitan mahasiswa semenjak 40 tahun tertidur lena. Mahasiswa tanpa
mengendahkan arahan, ancaman dan tindakan pihak tertentu turun menyatakan
protes pada kenaikan kos sara hidup yang mendadak tinggi. Setinggi syukur
kehadrat Allah yang telah memilih mahasiswa KIAS untuk turut menyelit dicelah
puluhan ribu demonstran pada peristiwa bersejarah ini.
PENGLIBATAN
MAHASISWA
Ana difahamkan bahawa terdapat
beberapa mahasiswa KIAS yang turun padang ketika himpunan ini berlangsung.
Antara nama-nama mereka yang hadir ialah Setiausaha Agung PMKIAS, akhi
Zamharir, Timbalan Exco AKP PMKIAS, akhi Ahmad Thoha, Exco Akademik KEMADA,
akhi Nasrullah, Ketua Penerangan UTAM Kelantan, akhi Fuad Hanif, Setiausaha
Agung Persatuan Seni Silat Terlak Empat KIAS, akhi Khamis, Mantan Rois Diploma
Pengajian Islam, akhi Ayub Sulaiman, krew KIAS TV, akhi Syazwan, perwakilan
Royalti Kampus serta beberapa orang lagi. Walaupun tidak hadir dalam jumlah
yang besar namun kehadiran mahasiswa KIAS tetap dirasai terutamanya bagi
demonstran yang berkumpul di checkpoint pusat membeli belah SOGO. Ana mendapat
maklumat bahawa mahasiswa KIAS hadir ke SOGO seawal pukul 3.30 petang lagi dan
menjadi antara demonstran awal yang memakai lilitan dikepala “Tolak GST”
selepas solat Asar. Berlaku beberapa aktiviti yang merupakan cetusan idea
mahasiswa KIAS antaranya tindakan berani untuk bersolat jemaah maghrib di
hadapan SOGO. Tindakan ini menyebabkan gambar-gambar ketika bersolat jemaah
diupload begitu banyak di dalam akaun Facebook dan melahirkan respon yang
pelbagai.
PROVOKASI
Suatu kisah yang sukar mahasiswa
KIAS lupakan apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memperalatkan
beberapa mahasiswa KIAS sebelum berlakunya solat jemaah. Ketika sedang sibuk
menghampar bendera dan pakaian (dibuat alas/sejadah) tiba-tiba hadir seorang
lelaki tidak dikenali mendekati mahasiswa KIAS. Lelaki itu memberitahu bahawa
dia mempunyai sebuah beg berisi berpuluh-puluh t-shirt Himpunan Turun yang
ingin “disedekahkan” kepada orang ramai. Tanpa ragu-ragu mahasiswa KIAS
mengumumkan mengenai pemberian t-shirt percuma pada orang ramai. Tidak sampai
dalam masa lima minit t-shirt itu habis diedar dan lelaki itu cukup berpuas
hati. Syukur Allah melemahkan tipudaya mereka yang zalim apabila salah seorang
mahasiswa KIAS menyedari cetakan pada t-shirt percuma itu dicetak dengan niat
yang salah apabila slogan “Turun kos sara hidup” sengaja ditukar pada “Turun
Kerajaan”. Rupa-rupanya ini perancangan cilik yang cukup keji bagi menampakkan
pada umum kononnya himpunan ini adalah himpunan untuk menggulingkan kerajaan.
Setelah diberi penerangan, akhirnya tidak sampai lima minit
juga baju percuma tadi dapat dikumpulkan semula dan tindakan pantas mahasiswa
KIAS itu berjaya menyelamatkan demonstran daripada ditangkap pihak polis dengan
alasan-alasan keganasan. Sidang media tergempar terus diadakan bagi mendedahkan
penipuan jahat itu. Sahabat-sahabat peguam dari Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
terus memainkan peranan dengan memaklumkan pada pimpinan demonstran di
checkpoint yang lain. Sahabat-sahabat pimpinan Aktivis Kelantan (AK03) dan
Royalti (R) membuat laporan polis di balai berdekatan. Suasana kecoh dengan
kemarahan demonstran berkenaan penipuan lelaki tadi diselang seli dengan soalan
pihak media bertali arus menjadi sepi apabila mahasiswa KIAS melaungkan azan
maghrib dan membentuk saf. Berlaku fenomena apabila ramai demonstran belum
Muslim cukup tertarik dengan solat jemaah yang berlaku di situ. Seorang
demonstran berbangsa Tionghua kelihatan cukup sebak sambil berdiri tegak dengan
jarak yang amat rapat bermula azan hingga selesai menunaikan solat. Pelancong
asing yang lalu lalang juga terpesona dan berhenti untuk mengambil gambar
melihat kejadian itu.
2005:
“V” FOR VENDETTA
Segar dengan idea “gila-gila”,
beberapa mahasiswa KIAS mengadakan flashmob dengan lakonan patung di jalanraya
sambil memakai topeng V. Topeng V merupakan topeng yang dipelopori melalui
filem “V for Vendetta” pada tahun 2005 apabila hero serta ribuan rakyat didalam
filem itu memakai topeng muka ketika memprotes kerajaan zalim. Natijah filem
itu walaupun mempunyai beberapa perkara yang tidak dipersetujui menyebabkan
demonstrasi anti kezaliman seluruh dunia hari ini mempunyai topeng V
termasuklah mahasiswa KIAS. Flashmob yang dijayakan dengan penuh kesungguhan
melahirkan simpati yang tinggi sambil memegang kertas bertulis “Jangan Seksa
Kami Lagi” dalam bahasa Melayu dan Mandarin serta tulisan “Kami Mahasiswa
Miskin”. Flashmob ini diadakan berterusan sehingga sampai ke Dataran Merdeka.
CUBAAN
MENGHALANG REMPUHAN
Berlaku insiden memalukan yang
dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab ketika demonstran memasuki
padang tempat konsert sambutan tahun baru sedang berlangsung. Beberapa
demonstran gagal mematuhi arahan pimpinan yang menginginkan perhimpunan aman dengan
berlari-lari merempuh penonton konsert dipadang. Hasilnya berlaku kekecohan
yang serius dan menimbulkan ketakutan dikalangan penonton konsert yang tidak
memahami apa yang berlaku. Objek seperti botol air mineral dilemparkan sesuka
hati kearah pentas membuatkan konsert itu ditamatkan segera. Mahasiswa KIAS
berusaha menghalang rempuhan itu daripada berlaku dan cuba menenangkan keadaan
tetapi gagal. Akhirnya strategi menghalang rempuhan bertukar kearah
menyelamatkan orang awam dengan meminta
mereka segera ke tempat yang lebih selamat sambil menerangkan serba sedikit
bahawa tujuan demonstran datang bukan untuk bermusuh sebaliknya berhimpun
dengan aman. Strategi ini menampakkan hasil positif dan orang awam terutama
yang membawa anak kecil dapat dibawa ketempat yang lebih selamat. Mahasiswa
KIAS turut meminta maaf atas kekasaran sahabat demonstran yang terlanjur
perbuatan.
AKHLAK
MULIA PEMANGKIN DAKWAH
Sesudah selesai himpunan dengan
jayanya, mahasiswa KIAS secara sukarela dan tanpa arahan mana-mana pihak mengutip
sampah-sampah sekitar Dataran Merdeka. Memahami prinsip menjaga imej baik
himpunan maka tindakan ini dilakukan dengan senang hati dan menimbulkan
keinsafan pada demonstran lain untuk turut melakukan perbuatan sama. Demonstran
berbangsa Tionghua terutama sekali cukup berminat dan memberikan sumbangan
membersihkan dataran. Setelah jarum jam mengisyaratkan pukul 2 pagi maka
mahasiswa KIAS beransur pulang ke rumah salah seorang mahasiswa di selatan
Selangor.
PENGLIBATAN
MENYELAMATKAN UMMAH
Tujuan penglibatan mahasiswa KIAS
bukan atas dasar semangat, atau jiwa memberontak seperti yang ditohmah
sesetengah pihak. Kehadiran ini berdasarkan ilmu dan empati yang tinggi
mengenangkan nasib yang menimpa masyarakat marhaen. Ilmu tipis yang kami miliki
cukup menyukarkan kami untuk redha pada kezaliman yang berlaku. Hutang negara
yang hampir mencecah 600 bilion akibat karenah rasuah seperti yang dilaporkan Ketua
Audit Negara menyebabkan pelbagai jenis cukai perlu dinaikkan (dikatakan
sebagai pengurangan subsidi!) dengan alasan-alasan jahil yang menindas golongan
marhaen yang tidak berdosa. Golongan marhaen itu termasuklah ayah, ibu dan
keluarga kami yang menanggung pedih terutamanya yang hidup dibandar. Kenaikan
kos sara hidup ini mencakupi semua manusia bermula dari janin sampai mereka
yang akan dikambus di dalam lahad. Bayangkan dari harga lampin sehingga harga
kain kapan semuanya akan meningkat naik dan dikatakan ia pengorbanan untuk
negara sedangkan perasuah bermaharajalela membaham wang rakyat.
Pengetahuan yang kerdil mengenai
teori Domino meyakinkan kami bahawa akan berlakunya masalah-masalah besar
lanjutan dari kenaikan kos sara hidup ini. Antaranya ialah kadar jenayah dan
masalah sosial. Manusia yang meletakkan wang sebagai ilah pasti akan melakukan rompakan, mencuri dan berbunuhan. Kami
tidak sanggup membayangkan jika ibu kami diragut, ayah kami diugut bunuh
apabila jenayah berleluasa. Masalah sosial seperti pelacuran juga akan
meningkat. Manusia akan lakukan apa sahaja untuk mendapatkan sesuap nasi
termasuklah melacurkan diri. Rentetan itu pasti ramai lagi bayi comel yang
dibunuh kejam. Institusi masyarakat hancur lebur dan semakin menjauhkan dengan
cita-cita kami untuk melihat daulah Islamiyyah dapat ditegakkan. Kami menyertai
kerana ini dakwah dalam menyelamatkan ummah!
Sekilas Pandang TURUN 31 Disember 2014
#TURUN di Sabah |
#TURUN di Mesir |
#TURUN di Yaman |